Blog / Press Releases

Bunga Muncul Dengan Solo Terbaharunya Yang Berjudul MERENG

June 25th, 2021

Nama Bunga atau Noor Ayu Fatini, bukanlah nama asing di persada seni tanah air apabila mula tular pada 2019 yang tampil mengenakan baju kurung dan berhijab sambil melontarkan bait-bait rap ketika muncul dalam program 16 Baris anjuran Joe Flizzow. Bunga juga berkolaborasi dengan penyanyi popular Malaysia iaitu Aizat Amdan dengan lagu ‘Dup Dup’. Selain Aizat, Bunga juga pernah berkolaborasi bersama Amzar Sabri dengan lagu yang berjudul ‘300 Saat’. Dan yang terbaru kolaborasi bersama penyanyi irama Malaysia, Noraniza Idris dalam lagu yang berjudul ‘Intan Payung’ yang dilancarkan pada Februari tahun ini. Video muzik rasmi Intan Payung telah mencecah 1 juta tontonan di Youtube sejak dilancarkan pada sebulan yang lepas. Kini, Bunga mengorak langkahnya dengan melancarkan solo terbarunya yang berjudul ‘MERENG’.

 

‘MERENG’ merupakan hasil karya dari Bunga sendiri bersama John Jeevasingham, Karim Karam, Romal Melvyn dan Ezra Kong. Lagu yang membawa genre Hip Hop tetapi diberi sentuhan elemen elektropop ini mampu menangkap telinga sesiapa sahaja dengan melodi yang ‘catchy’ dan lirik yang santai.

 

Rapper dan penulis lirik berbakat ini berharap agar lagu ini bukan saja mendapat reaksi positif peminat Hip Hop tetapi diterima baik oleh peminat muzik arus perdana. Kemunculan Bunga dengan gaya tersendiri ini pastinya mampu memeriahkan lagi industri muzik tanahair dan menggalakkan lagi gadis sepertinya untuk cuba berkecimpung dalam arena muzik Hip Hop.

 

‘MERENG’ juga merupakan runut bunyi untuk telemovie yang akan datang berjudul Holiday Aji Tom. Potongan babak telemovie Holiday Aji Tom diselitkan didalam video muzik rasmi ‘MERENG’ yang menampilkan Jalil Hamid, Syafiq Kyle, Bunga dan lain-lain sebagai pelakon Holiday Aji Tom.

 

Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital bermula 25 JUN 2021 manakala video muzik rasmi ‘MERENG’ boleh ditonton di Youtube Warner Music Malaysia bermula 25 JUN 2021.