Blog / Press Releases, News

Taruhan Pertama Kucaimars Menerusi 'Jawab'

January 25th, 2019

Mula meraih populariti apabila video lagu-lagu saduran dendangannya yang dikongsi menerusi laman media sosial mendapat sambutan hangat netizen, kini Amirul Husyairi bin Nani atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Kucaimars muncul dengan single debut berjudul “JAWAB”.

Lagu ini merupakan single pertama penyanyi ini semenjak dilamar bernaung di bawah pengurusan syarikat rakaman Warner Music Malaysia. “JAWAB” merupakan karya ciptaan ahli kumpulan Akim & The Majistret iaitu Akim Ahmad dan Zarimi Zahari yang masing-masing menggunakan nama pena, Hang Nadim dan Laq. Single ini merupakan terbitan dan edaran Warner Music Malaysia.

Sebagaimana lagu-lagu saduran band Indonesia yang dinyanyikan Kucaimars sebelum ini, “JAWAB” turut diberi gubahan pop alternatif bersesuaian dengan tona suara dan gaya nyanyiannya. Penyanyi yang berasal daripada Seremban, Negeri Sembilan ini mengharapkan agar single debutnya ini dapat diterima ramai dan semoga pihak media dan pendengar muzik tempatan dapat memberikan sokongan berterusan kepadanya. 

“JAWAB” boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music pada 25 JANUARI 2019.


MENGENAI KUCAIMARS

Amirul Husyairi bin Nani atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Kucaimars mula menyanyi sejak di bangku sekolah. Penyanyi berusia 21 tahun ini pernah mengeluarkan single berjudul ‘I Miss You’ pada tahun 2015 ketika mengganggotai sebuah kumpulan boyband remaja yang digelar sebagai Q4.  Setelah tamat pengajian pada Mac 2018, graduan Diploma Teknologi Kreatif (Teater) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana ini mula mendapat perhatian netizen apabila memperlihatkan bakatnya menerusi perkongsian video nyanyiannya di laman media sosial. Pada Oktober 2018, popularitinya makin melonjak apabila videonya yang menyanyikan lagu Ragaman (nyanyian asal Faizal Tahir) dalam dialek Negeri Sembilan yang dimuatnaik di laman Instagram menjadi tular sehingga video tersebut mencapai ratusan ribu tontonan. Populariti mendadak yang diterimanya itu telah melayakkan Kucaimars tercalon dalam kategori ‘Penyanyi Paling Lit di Media Sosial’ dalam Anugerah Digital Muzik ERA (ERA Digital Music Awards) 2018 yang berlangsung pada 25 Januari 2019.