Blog / Press Releases

RESORTS WORLD CRUISES LANCAR KEMPEN "SAYANG LOKAL" DI MALAYSIA BERSAMA SELEBRITI TEMPATAN ALIF SATAR & THE LOCOS DI KAPAL PELAYARAN GENTING DREAM (Alif Satar & The Locos artis pertama lancarkan album di atas kapal Genting Dream)

August 11th, 2023

Kuala Lumpur, 14 September 2023 – Resorts World Cruises, syarikat pelayaran antarabangsa terkini Asia, dengan bangganya memulakan kempen "Sayang Lokal" di Malaysia dengan menampilkan salah seorang penyanyi, pelakon, dan hos televisyen terkemuka negara, Alif Satar bersama dengan kumpulannya The Locos. Pelancaran hari ini adalah permulaan bagi siri kempen "Sayang Lokal" yang bertujuan menyokong pelbagai inisiatif warga tempatan. Ini termasuk memberi peluang kepada bakat-bakat Malaysia dan perniagaan tempatan dengan menyediakan platform tambahan di atas kapal pelayaran untuk meningkatkan kesedaran dan membolehkan mereka mencapai ke khalayak yang lebih luas di dalam dan luar negara.

Kempen “Sayang Lokal” Resorts World Cruises Bersama Alif Satar & The Locos.

Alif Satar & The Locos adalah artis tempatan pertama yang melancarkan album mereka dan mengadakan persembahan mini di atas kapal pelayaran Genting Dream di Port Klang, Malaysia. Sebagai sebahagian daripada kerjasama antara Resorts World Cruises dan Warner Music Malaysia, Genting Dream memilih untuk menjadi tuan rumah bagi pelancaran album dan persembahan mini Alif Satar & The Locos di Teater Zodiac yang mempunyai 999 tempat duduk ini. Alif Satar & The Locos bakal membawakan lagu-lagu yang dimuatkan di dalam album terbaru mereka yang berjudul ‘Alif Satar & The Locos’. Album terbaru ini merangkumi sebanyak 7 buah lagu iaitu Anugerah Terindah, LelakiXSempurna, LelakiXSempurna feat. Diandra Arjunaidi, TOXIC, Isteri, Hey! dan Senyum. Album ini akan didendangkan pada hari ini oleh Alif Satar & The Locos khas buat tetamu yang dijemput, termasuk peminat, media, pempengaruh sosial dan juga selebriti jemputan. 

Sejajar dengan itu, Alif Satar & The Locos bersama wakil-wakil dari Resorts World Cruises, Puan Cynthia Lee, Naib Presiden Bahagian Jualan (Malaysia) bersama Kapten Jukka Silvennoinen dari Genting Dream, serta Encik Carter Ng, Pengarah Associate, Digital Account & Business Development, Warner Music Malaysia, merasmikan pelancaran kempen "Sayang Lokal" Resorts World Cruises di Malaysia dan juga album ‘Alif Satar & The Locos’.

 "Bagi pihak Resorts World Cruises, kami gembira dapat memulakan kempen 'Sayang Lokal' ini di Malaysia dan memulakannya dengan salah satu artis terkemuka Malaysia, Alif Satar & The Locos. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Warner Music Malaysia atas kerjasama mereka dalam inisiatif 'Sayang Lokal' ini. Melalui kempen ini, kami berharap dapat menyokong, mempromosikan, dan memperkenalkan lebih banyak bakat dan produk tempatan dan dapat menggerakkan industri tempatan ke aras antarabangsa," kata Encik Michael Goh, Presiden Resorts World Cruises.

Saya mewakili Warner Music Malaysia amat berbesar hati apabila kami dapat bekerjasama dengan Resorts World Cruises dalam melancarkan album terbaru Alif Satar & The Locos. Saya juga berasa bangga apabila Alif Satar & The Locos merupakan artis tempatan pertama yang berpeluang melancarkan album di atas kapal mewah Genting Dream ini,’ ujar Encik Carter Ng, Pengarah Associate, Digital Account & Business Development, Warner Music Malaysia.

"Alif Satar & The Locos sangat gembira dan bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada kempen 'Sayang Lokal' Resorts World Cruises dan pada masa yang sama dapat melancarkan album kami dengan persembahan mini di atas kapal Genting Dream ini. Ia adalah impian yang menjadi kenyataan bagi kami kerana bukan setiap hari kami berpeluang melancarkan dan beraksi di atas kapal. Kami juga gembira kerana dapat mencipta pengalaman dan kenangan unik yang baru bagi kumpulan kami, tetamu, dan juga peminat yang hadir hari ini," tambah Alif Satar bagi pihak Alif Satar & The Locos.

Resorts World Cruises berlepas dua kali seminggu dari Port Klang (Malaysia) dengan kapal Genting Dream.

Genting Dream yang dijadualkan berlepas dua kali seminggu menawarkan pelayaran dua hala dari Port Klang, yang menawarkan pelayaran 3 malam ke Penang atau Phuket-Singapura dan pelayaran 4 Malam ke Singapura. Sebagai ‘Resorts Cruising at Sea', tetamu dapat menikmati pelbagai tawaran menarik dalam harga pakej pelayaran, termasuk makanan sepanjang hari secara percuma, dengan pelbagai hidangan antarabangsa dan Asia. Sebagai kapal pelayaran pertama di dunia yang mesra halal mengikut Piawaian OIC/SMIIC*, para pelancong Muslim akan mendapat akses kepada makanan dan minuman yang disahkan halal di bahagian yang dikhaskan di restoran The Lido, yang juga menyediakan hidangan vegetarian dan juga jain. Bilik solat juga disediakan di atas kapal untuk keselesaan para tetamu Muslim. Tawaran menarik lain yang disertakan untuk tetamu termasuk persembahan pentas antarabangsa yang mengagumkan di teater Zodiac, taman tema air dengan kolam renang dan 6 gelongsor air, rope courses dan ziplines, rock-climbing wall dan lebih banyak lagi aktiviti rekreasi untuk seisi keluarga.

Untuk maklumat lanjut mengenai Resorts World Cruises atau tempahan, sila lawati www.rwcruises.com atau e-mel reservations.en@rwcruises.com

*Organisation of Islamic Cooperation (OIC) / The Standards and Metrology Institute for Islamic Countries (SMIIC)

Mengenai Resorts World Cruises

Resorts World Cruises merupakan jenama pelayaran gaya hidup mewah dan dinamik yang baru ditubuhkan yang kaya dengan warisan Asia, menawarkan gaya hidup pelayaran peribadi dengan pengalaman antarabangsa yang pelbagai. Resorts World Cruises – ‘Resorts Cruising At Sea’ bertujuan untuk menghuraikan semula pengalaman pelayaran secara menyeluruh dengan menyediakan penawaran yang menarik dan unik, pelbagai jenis penginapan, termasuk penginapan mewah bertaraf dunia, "The Palace" – sebuah bilik persendirian yang mewah dalam kapal dengan pelayan peribadi dan restoran eksklusif, dek matahari, gimnasium, spa, dan kemudahan lain.

Resorts World Cruises adalah sambungan jenama "Resorts World," sebuah jenama global dengan lebih daripada 46 hartanah di 8 negara dan 4 benua. Hartanah Resorts World menarik lebih daripada 80 juta pelawat setiap tahun dan mempunyai lebih daripada 30,000 pekerja. Hartanah terbaru yang dibuka adalah Resorts World Las Vegas bernilai US$ 4.3 bilion pada tahun 2021.

Resorts World Cruises membuat kemunculan pertamanya pada 15 Jun 2022 di Singapura dan Kuala Lumpur (Port Klang) dengan operasi kapal mewah Genting Dream yang mempunyai kapasiti 3,352 penumpang dan berat bersih 150,695 tan. Bermula 10 Mac 2023, Resorts World One dengan kapasiti 1,856 penumpang dan berat bersih 75,338 tan memulakan penempatan pangkalan di Hong Kong, dan pada 4 April 2023 dari Kaohsiung. Dengan tertubuhnya Resorts World Cruises, jenama ini bertujuan untuk meletakkan dirinya sebagai syarikat pelayaran utama dalam rantau ini untuk pasaran Asia, menyediakan standard tertinggi dalam pengalaman pelayaran, keselamatan, dan langkah-langkah berjaga-jaga.