Blog / Press Releases

KOLABORASI ROHANI NAIM DANIEL & RAIHAN DALAM ‘YA RASULALLAH 1444’

September 23rd, 2022

KUALA LUMPUR, 28 September 2022 – Penyanyi, pelakon dan kini mentor popular negara, Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34, Naim Daniel, terpanggil untuk menyanyikan semula lagu penuh kerohanian terfenomena suatu ketika dahulu oleh kumpulan nasyid bertaraf lagenda tanah air, Raihan menerusi lagu ‘YA RASULALLAH 1444’ ciptaan komposer tersohor dan penuh berpengalaman iaitu Abu Bakar Md. Yatim, terbitan eksklusif oleh label rakaman terkenal, Warner Music Malaysia.

“Perancangan awal untuk pelancaran lagu ini sebenarnya pada bulan puasa tempoh hari, namun Allah Maha Mengetahui dan kini baharulah kami berkesempatan untuk meriliskannya.

“Alhamdulillah, segala puji hanya pada Allah kerana dengan izin kurnia-Nya akhirnya kumpulan nasyid yang sangat saya minati sejak dari kecil iaitu Raihan dan saya berpeluang bergabung melalui sebuah lagu yang penuh bermakna tentang rasa kecintaan kita pada Rasulullah SAW,” jelas Naim, 25.

Walaupun sibuk dengan jadual seni yang padat seperti aktiviti lakonan dan juga menjadi mentor program ‘Terpaling Juara’, Naim masih lagi memperuntukkan waktu untuk bidang nyanyian, “Walaupun bidang lakonan merupakan cinta pertama saya, namun bidang nyanyian adalah ‘kekasih hati’ saya, mana mungkin saya terus sibuk dengan cabang seni lain tanpa bernyanyi.

“Idea di sebalik kolaborasi ini datangnya dari abang-abang Raihan sendiri yang mempelawa saya untuk berkolabrasi dengan mereka dan siapa tidak mahu untuk turut serta dalam projek istmewa ini bersama mereka, lebih-lebih lagi Raihan merupakan pelopor genre nasyid moden negara kita, bahkan di peringkat global juga.

Lagu ‘Ya Rasulallah’ yang asal mula dilancarkan sekitar 23 tahun lalu pada 1999 merupakan di antara lagu paling hit pernah dihasilkan oleh Raihan dan mendapat sambutan bukan sahaja di rantau Asia Tenggara bahkan di Eropah seperti United Kingdom.

Jelas salah seorang anggota Raihan, Che Am berkata, “Kami sepakat memilih Naim kerana pernah melihatnya menyanyikan lagu ini dan senang mendengar versi yang dibawakannya.

“Jadi kami menyatakan hasrat pada pihak Warner untuk mengajak Naim untuk turut serta dalam projek ini maka terlahirlah YA RASULALLAH 1444 dengan susunan muzik yang baharu dan lebih segar. Akan tetapi, tidak banyak perubahan yang dilakukan pada melodinya hanya kedengaran lebih ‘besar’ pada skala yang berkadar.

Sebagaimana yang diketahui umum, lagu ini menceritakan tentang kerinduan yang mendalam buat junjungan kita, Nabi Muhammad SAW tentang keperibadiannya, namun menurut Naim, “Bagi saya lagu ini merupakan ‘surat cinta’ buat seseorang yang sangat kita sayangi dan rindui, rasa cinta, rasa kasih serta mengenang perjuangan Rasulullah SAW dalam memartabatkan Islam tidak dapat digambarkan hanya dengan kata-kata.

“Abang Burn (komposer) mencipta lagu ini bukan untuk meraih populariti tetapi dengan niat yang ikhlas untuk menzahirkan rasa sayang terhadap Baginda. Keperibadiannya yang wajar dijadikan contoh menjadi panduan buat kita seluruh umat Islam dalam menjejaki langkahnya.

“Tujuan single ini dihasilkan semula untuk sentiasa mengingati Rasulullah SAW tidak kira apa jua keadaan dan sentiasa berselawat kepadanya.

Selain single, sebuah video muzik (MV) turut dihasilkan dengan memaparkan jalan cerita yang ‘straightforward’ hanya melalui ekspresi nyanyian mengagungkan sifat-sifat Rasulullah SAW.

“Menjadi artis bagi saya adalah sebuah tuntutan kerja yang perlu saya lunaskan dan menjadi pengkarya memberi kepuasan dalaman kerana setiap penghasilan yang sampai ke jiwa pendengar memberi semangat buat saya untuk terus berkarya dan menghasilkan yang terbaik. Selain berpeluang bekerja dengan mereka yang berpengalaman dan boleh dianggap ‘legend’ banyak yang saya pelajar dan fahami apa erti perjuangan artis-artis sebelum saya.

“Semoga lagu ini dapat membuat kita merenung kembali dan mengenang keperibadiannya, supaya ia dapat membersihkan semula jiwa kita dan sematkanlah Nabi Muhammad SAW dalam apa jua perkara yang kita lakukan, dan sentiasalah berselawat dalam mengingatinya.

Lagu ‘YA RASULALLAH 1444’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran perdana YouTube Warner Music Malaysia.

-TAMAT-