Blog / Press Releases

ANDI BERNADEE DAN ZIZI KIRANA BERGANDING UNTUK JUJURLAH

January 20th, 2023

20 JANUARI 2023, Kuala Lumpur – Hampir mencecah enam tahun bertapak dalam bidang seni suara, nama Andi Bernadee sudah tidak asing lagi di kalangan peminat muzik tempatan. Penyanyi berasal dari Sabah ini mula mencipta populariti dengan karya hits ‘Satu Peluang’, ‘Donde’ dan ‘Shimmy’. Tahun 2022 menyaksikan penyanyi yang mesra disapa sebagai Andi ini aktif melancarkan dua single ‘DU’ dan ‘Aku Di Sini’ pada tahun lepas. Kini sebagai pembuka cerita seninya buat tahun 2023, Andi bakal muncul pula dengan lagu duet penyanyi terkenal Zizi Kirana yang berjudul ‘JUJURLAH’. ‘JUJURLAH’ merupakan ciptaan komposer terkenal, Ezra Kong manakala liriknya ditulis sendiri oleh Ezra bersama A. Ramlee. Berbekalkan melodi mesra telinga, lagu ini menceritakan tentang kisah sepasang kasih yang menginginkan kejujuran antara satu sama lain. Lagu berentak reggaeton yang disuntik dengan elemen muzik timur ini dijangka bakal menambat hati peminat muzik tanah air. Mengulas tentang gandingannya bersama pasangan duetnya, Andi berkata, “Sudah lama saya mengintai peluang untuk berduet dengan penyanyi wanita.

Apabila ditawarkan untuk berganding dengan penyanyi yang mempunyai aura tersendiri seperi Zizi Kirana, sudah tentu saya tidak menolak. Saya percaya lagu gandingan kami ini dapat memeriahkan lagi industri muzik tanahair. Penyanyi yang sinonim dengan lagu berentak reggaeton ini turut menyatakan bahawa lagu ‘JUJURLAH’ ini tetap menjanjikan suatu kelainan untuk santapan halwa telinga peminat dan Andi berharap peminat terhibur dengan taruhan terbaharunya ini. Lagi pula, ini adalah lagu duet pertama bersama artis wanita sepanjang karier beliau bergelar penyanyi. Sebelum ini Andi juga pernah berganding bersama Ismail Izzani menerusi lagu Hello.

Single 'JUJURLAH' terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 20 JANUARI 2023. Manakala video muzik rasmi ‘JUJURLAH’ boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia bermula 20 JANUARI 2023 pada jam 9 malam.