Blog / Press Releases

ADAM LEE HADIR DENGAN BUAH TANGAN TERBARU, ‘IZIN’

February 9th, 2024

Setelah menggilap bakatnya dari pelakon kepada penyanyi, kini Adam Lee hadir dengan lagu keduanya yang berjudul ‘IZIN’. Adam Lee juga pernah berduet bersama isterinya sendiri, Sweet Qismina untuk lagu berjudul ‘Tercipta’ yang telah dilancarkan sempena perkahwinan mereka yang berlangsung pada Oktober 2022.

Lagu ini ditulis oleh Mas Dewangga dan Jova Devito, dengan produksi, susunan lagu, dan berbagai instrumen seperti bass dan gitar yang disusun oleh Mas Dewangga sendiri. Lagu ini juga melibatkan kolaborasi dari sudut muzik seperti Aden King dan Aiman Ariffin untuk gitar, serta Mikhail Raiyan sebagai suara latar. Proses mastering dilakukan oleh Brian Wong untuk memberikan kualiti audio yang terbaik.

‘IZIN’ menggambarkan perasaan yang rumit dalam hubungan, dengan lirik yang memikat dan melodi yang menyentuh. Setiap kata dalam lirik menggambarkan perjalanan cinta yang penuh liku dan kerinduan yang mendalam.

“Lagu ini menawarkan pendengar perjalanan emosional yang dapat terhubung dengan pengalaman hidup mereka sendiri dalam percintaan. Dengan muzik yang menangkap halwa telinga dan lirik yang memukau, saya berharap lagu ini boleh memberikan pengalaman mendalam bagi para pendengar dan para peminat saya,” jelas Adam Lee.

Bagi video muzik ‘IZIN’, Adam Lee menampilkan isterinya sendiri, pelakon dan penyanyi, Sweet Qismina sebagai watak utama dalam muzik video ini. 

“Saya berterima kasih kepada isteri saya kerana bersetuju untuk memainkan peranan sebagai watak utama dalam video muzik ini. Video muzik kali ini juga hanya memakan masa selama 1 hari penggambaran kerana jalan ceritanya yang ringkas dan menarik,” jelas Adam Lee lagi.

‘IZIN’ boleh didapati di kesemua penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 19 JANUARI 2024 manakala video muzik rasmi ‘IZIN’ boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia bermula 19 JANUARI 2024.