Blog / Press Releases

Janna Nick & Smyles Persembahkan ‘Gatal’ (Smyles Remix)

March 25th, 2022

Hanya baharu sahaja 2 bulan single ‘Gatal’ dilancarkan, penyanyi, pelakon dan pengacara sensasi tanah air, Janna Nick, tampil mempersembahkan versi remix pula ‘Gatal (SMYLES Remix)’ yang diolah padu oleh DJ bertaraf antarabangsa asal Denmark, SMYLES, yang merupakan artis di bawah naungan Warner Music Denmark.

“Tak sangka tuah lagu ‘Gatal’ ini mampu pergi jauh sehingga dikenali di seluruh dunia! Syukur dengan respon yang cukup memberangsangkan oleh peminat muzik kerana penantian selama 4 tahun akhirnya membuahkan hasil,” kata pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner, 27 tahun.

Lagu ‘Gatal’ yang dicipta sepenuhnya oleh Aepul Roza dan diterbitkan oleh Warner Music Malaysia ini telah memperoleh hampir 5 juta tontonan di YouTube semenjak dilancarkan.

“Pihak Warner ada menyatakan idea bernas mereka untuk menghasilkan ‘Gatal’ versi remix kerana sambutan yang sungguh luar biasa daripada pendengar muzik global, dan kebetulan SMYLES juga adalah artis di bawah naungan label yang sama,” jelas Janna.

Single berentak pop moden yang sensual dalam tempo perlahan ini diberikan ‘nyawa’ baharu oleh SMYLES yang sememangnya pakar dalam penciptaan muzik berentak EDM. Pemuzik kelahiran Denmark dengan identiti yang agak ‘elusif’ ini nyata memberikan rasa ‘antarabangsa’ yang lebih bertenaga dan dinamik menerusi lagu ‘Gatal (SMYLES Remix)’.

Lagu ‘Gatal’ punyai mesej tersendiri buat golongan wanita mahupun lelaki di mana ia menegaskan sekeras-kerasnya jangan mengganggu mereka yang sudah berpunya kerana pasti ada akibatnya dikemudian hari.

Harapan Janna: “Semoga peminat-peminat saya, terutamanya Janna Nicker, dan pencinta muzik Malaysia serta dunia terus menyokong karya saya pada masa-masa akan datang. Bahasa muzik itu universal dan meluas, semoga muzik menyatu-padukan kita semua dan cintailah perdamaian.”

Lagu ‘Gatal (SMYLES Remix)’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Warner Music Malaysia.