Blog / Press Releases, News

Getaran Andi Bernadee Dalam Shimmy

March 11th, 2020

Setelah kejayaan single keempatnya ‘Donde’ yang menjadi trending dan tular sejak Mac 2019, bintang penyanyi muda Andi Bernadee semakin bersinar. Sehingga kini, video muzik rasmi ‘Donde’ telah mencecah lebih 19 juta tontonan sejak dimuatnaik di saluran YouTube Warner Music Malaysia pada 10 April 2019. Malah ‘Donde’ juga berjaya dinobatkan sebagai ‘Lagu Viral Onz’ dalam Anugerah Digital Muzik Era (EDMA 2019) yang berlangsung pada 17 Januari lalu, sekaligus menjadikan kemenangan pertama penyanyi yang mesra disapa sebagai Andi pada acara anugerah selepas hampir tiga tahun berada dalam industri muzik. Ternyata tahun 2019 merupakan tahun yang cemerlang buat Andi apabila turut tercalon dalam kategori ‘Artis Baharu MeleTOP’ dalam Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME2019) dan tersenarai dalam Top 5 ‘Lagu Paling Boom’ dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-32 menerusi single terdahulunya ‘Satu Peluang’. Kini bagi meneruskan momentum kecemerlangan kerjaya seninya, Andi muncul dengan single kelimanya berjudul “SHIMMY”.

Menerusi “SHIMMY”, Andi sekali lagi bekerjasama dengan rapper dan penerbit tersohor, Alif yang juga bertindak sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit rakaman lagu ini. Sekali lagi menyuntik rentak muzik latin yang berusurkan pop ‘reggaeton’ dalam susunan muziknya, sesuai dengan judul lagu ini sendiri yang membawa maksud bergoyang. “SHIMMY” yang sarat dengan rentak dan melodi yang ‘catchy’, dilihat mampu membuat pendengar turut bergoyang  dan lagu ini turut dijangkakan bakal mencipta fenomenanya tersendiri. Menerusi  “SHIMMY”, Andi mengharapkan kedudukannya sebagai penyanyi lelaki yang membawa konsep muzik urban di  persada seni Malaysia semakin mengukuh.

SingleSHIMMY” terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 14 FEBRUARI 2020.


TENTANG ANDI BERNADEE

Andi Bernadee atau mesra disapa Andi memulakan kerjaya seninya pada tahun 2017 dengan balada ‘Tiada Lagi Maaf’. Percubaan Andi dalam membawakan irama muzik urban apabila Andi diberikan kepercayaan oleh penyanyi rap terkenal Indonesia, Roy Ricardo untuk merakam semula lagu hits rapper tersebut, ‘Semalem Sahur Dimana’ pada bulan Ramadhan tahun 2018. Kecenderungannya membawakan irama muzik urban seperti hip hop, EDM dan seumpamanya, membuatkan Andi kemudiannya muncul pula dengan single ketiganya ‘Satu Peluang’ yang membawakan konsep muzik urban. ‘Satu Peluang’ mendapat sambutan luar biasa peminat muzik tempatan. Namun, popularitinya hanya mula melonjak apabila single keempatnya ‘Donde’ yang dilancarkan pada Mac 2019 menjadi trending dan tular di kalangan pendengar muzik tempatan. Kini statusnya sebagai penyanyi lelaki generasi baharu yang memperjuangkan muzik urban di arena muzik arus perdana Malaysia menjadi semakin kukuh apabila Andi bakal muncul dengan single kelimanya berjudul ‘Shimmy’ pada Februari 2020.