AMSYAR LEEE HADIR DENGAN ‘RASA SAYANG SAYANG’
March 15th, 2024
January 21st, 2022
Setelah tular di media sosial dengan video yang mempunyai keunikan meniru ton suara penyanyi terkenal di Malaysia seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Nabila Razali dan Elizabeth Tan, kini Muhammad Amir Syafiq Bin Mohd Sadri atau lebih dikenali dengan Amsyar Leee, mengorak langkah dengan melancarkan single keduaanya yang berjudul ‘BELAI’ nyanyian Bersama Bunga. Kalau lihat di media sosial Amsyar, aksinya meniru ton suara penyanyi penyanyi terkenal tersebut membuatkan netizen terhibur dengan telatahnya yang bersahaja. Selain daripada itu, pemuda yang berasal dari Selama Perak ini juga merupakan lepasan Diploma Seni Teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Perdana.
Bakat luarbiasanya itu mula diterima peminatnya selepas beberapa video Amsyar Leee menyanyikan dengan suara uniknya. Malah di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik baru-baru ini, Amsyar Leee turut dijemput menyanyikan lagu berjudul ‘Intan Payung’ bersama seorang penyanyi yang juga turut meningkat naik namanya, Bunga.
Nama Bunga atau Noor Ayu Fatini, bukanlah nama asing di persada seni Malaysia apabila mula tular pada 2019 yang tampil mengenakan baju kurung dan berhijab sambil melontarkan bait-bait rap ketika muncul dalam program 16 Baris anjuran Joe Flizzow. Bunga juga berkolaborasi dengan penyanyi popular Malaysia iaitu Aizat Amdan dengan lagu ‘Dup Dup’. Selain Aizat, Bunga juga pernah berkolaborasi bersama Amzar Sabri dengan lagu yang berjudul ‘300 Saat’. Dan yang terbaru kolaborasi bersama Amsyar Leee dalam lagu terbaru, berjudul ‘BELAI’ ini.
Lagu ini merupakan hasil ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Aden King dan juga Bunga. Gabungan melodi etnik tradisional yang dimodenkan ini memang bijak! Mendengarkan lagunya sahaja sudah membuatkan hati terpaut, apatah lagi mendengarkan lagu ini hingga akhir.
Tambah Amsyar, “Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengikut dan peminat saya dari lima tahun yang lalu, dari saya tidak mempunyai pengikut yang ramai sehinggalah ke hari ini, tak mungkin saya berada di sini jika tiada support daripada anda semua. Terima kasih!”.
Bunga yang juga merupakan seorang rapper dan penulis lirik berbakat bagi lagu juga berharap agar lagu ini dapat reaksi positif oleh peminat muzik arus perdana. Kemunculan Bunga dengan gaya tersendiri ini pastinya mampu memeriahkan lagi industri muzik Malaysia
Bagaimanapun, gandingan Bunga dan Amsyar Leee menerusi ‘BELAI’ ini telah membuatkan ramai memuji dengan hasilnya. Muzik video ‘BELAI’ ini telah dimuat naik menerusi Youtube Warner Music pada 10 Februari yang lalu.