Blog / Press Releases, News

Video Muzik Rasmi 'Diamonds' Menceritakan Kisah Percintaan Dua Anak Remaja

October 2nd, 2019

Tahun 2018 pastinya tahun yang paling sibuk buat penyanyi Pop R&B wanita terkenal Kaka Azraff. Selain daripada muncul dengan single ‘Sibuk’, Kaka turut mengeluarkan lagu ‘Shout It Out’ sebuah lagu OST filem ‘Gol & Gincu Vol. 2’ dan berduet bersama penyanyi Maya Karin dalam lagu berjudul ‘Getaway’. Namun semenjak bergelar isteri pada 14 Disember tahun lalu, penyanyi yang mesra disapa sebagai Kaka sibuk diulit bahagia bersama suami Adam Azriff. Tatkala baru sahaja menjalani kehidupan barunya sebagai isteri, Kaka mengumumkan pula dirinya telah berbadan dua pada Mei lalu. Perasaan Kaka yang sedang mengecap bahagia dalam melayari kehidupan berumah tangga dan membina keluarga bersama lelaki tercinta, itulah yang cuba digambarkannya melalui single terbarunya “Diamonds”. 


“Diamonds” telah dilancarkan pada 13 September yang lepas dan hari ini secara eksklusifnya video muzik rasmi “Diamonds” akan mula dipertontonkan. Video muzik rasmi “Diamonds” arahan Izzat Zulkefli dan Zuliana Eusoff ini mengisahkan tentang perjalanan percintaan dua anak remaja yang sukakan cabaran. 

“Diamonds” merupakan ciptaan sepenuhnya komposer dan rapper tersohor Alif yang turut bertindak selaku penerbit rakaman lagu ini. Sebagaimana lazimnya sentuhan magis Alif, diberi gubahan  muzik yang ‘catchy’ dan sarat dengan melodi yang mesra telinga. Penyanyi yang bakal menyambut kelahiran anak sulung mereka pada Oktober ini turut berharap agar lagu ini mendapat sambutan positif peminat. 


“Diamonds”  merupakan single terbitan dan edaran Warner Music Malaysia. Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 13 SEPTEMBER 2019 yang lepas manakala video muzik rasmi “Diamonds” boleh ditonton pada 2 OKTOBER 2019 jam 8 malam ini di Youtube Warner Music Malaysia. 

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Black Pearl Events kerana menaja tempat untuk Majlis Pelancaran “Diamonds”