Blog / Press Releases, News

Luqman Podolski - Sorang

August 2nd, 2019

Sejak tahun 2014, personaliti media sosial ini sudah mula mencuri perhatian warganet menerusi video-video jenaka yang dikongsinya menerusi aplikasi Vine yang berjaya mencapai lebih 27 juta tontonan. Hampir lima tahun mencipta nama sebagai personaliti media sosial dan mengumpul 1.2 juta pengikut di laman Instagram, kini Luqman Podolski boleh berbangga dengan populariti yang dikecapinya. Personaliti yang boleh melawak, berlakon, mengacara dan menyanyi ini pernah dinobatkan sebagai ‘Top Breakout Influencer’ pada malam anugerah Influence Asia 2017 anjuran syarikat rangkaian pemasaran influencer dari Singapura, Gushcloud.

Selain menerbitkan video dan kandungan kreatif yang menampilkan telatah lucu dan sketsa parodi, Luqman turut dikenali dengan bakatnya menyampaikan lagu dalam bentuk rap. Sebelum ini Luqman pernah berganding dengan teman penerbitnya Adib Aiman atau lebih dikenali sebagai AdibAlexx dalam membentuk kumpulan duo yang diberi nama ROTI. Antara single ROTI adalah lagu  ‘Dekat Puchong’ yang mencapai lebih 561 ribu tontonan di YouTube, dan beberapa projek kolaborasi mereka bersama penerbit tempatan lain seperti lagu ‘Pinggan’ dan ‘Gaji Masuk’.

Dalam usaha terus menggilap bakatnya sebagai penyanyi, pemilik nama sebenar Luqmanulhakim Kamaruddin ini melancarkan single debutnya berjudul “SORANG”. Single “SORANG”  merupakan karya ciptaan rapper dan penerbit tersohor Alif manakala lirik ditulis oleh Luqman sendiri. Pertama kali tampil solo, single ini merupakan percubaan serius Luqman dalam memahat namanya sebagai penyanyi Hip Hop dalam industri muzik tempatan. “SORANG” merupakan terbitan Black Hat Cat Records (BHC), sebuah syarikat rakaman yang ditubuhkan bagi bertujuan memartabatkan genre ‘urban music’ di Malaysia. Luqman merupakan artis solo pertama bernaung di bawah BHC.

 Single “SORANG” terbitan dan edaran Black Hat Cat Records dan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 2 OGOS 2019.