Blog / News, Press Releases

Lukisan Mural 'Rojak' Menghiasi Salah Satu Dinding Di Kuala Lumpur

August 9th, 2019

Sempena keluaran album terbarunya yang berjudul “ROJAK” yang telah dilancarkan pada 2 Ogos yang lepas, Faizal Tahir telah mengabadikan lukisan mural di Kuala Lumpur yang telah ditandatangani oleh Faizal sendiri dan disaksikan oleh Penyelaras Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Encik Marzuki Bin Hj. Ahmad. Lukisan mural ini amat bermakna bagi Faizal Tahir dan juga peminatnya kerana album “ROJAK” merupakan album terakhir daripada Faizal Tahir. Lukisan mural ini telah dilukis oleh pelukis terkenal iaitu Katun atau nama sebenarnya Ab Hafiz Bin Ab Rahman. Projek lukisan ini hanya memakan masa selama 2 hari.

Sebagaimana namanya, “ROJAK” yang juga merupakan album kelima Faizal Tahir ini menawarkan aneka sajian muzik dari pelbagai genre berlainan. Album ini memuatkan 9 buah lagu dan antara yang pernah dikeluarkan sebelum ini adalah seperti ‘Ragaman’, ‘Bisa Aja’, ‘Starfeather’ dan yang paling baru ‘Ratu’. Sebagai bonus buat peminat, album “ROJAK” turut memuatkan tiga lagu baharu berjudul ‘Kamu’, ‘Until We Meet Again’ dan lagu runut bunyi untuk filem animasi BoBoiBoy Movie 2 terbitan Animonsta Studios yang berjudul ‘Fire & Water’.

Album “ROJAK” diterbitkan oleh syarikat rakaman milik Faizal Tahir sendiri iaitu Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia selaku pengedar. Album fizikal dalam bentuk CD boleh dibeli di kedai-kedai seluruh negara manakala versi digital boleh didapati di kesemua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan iTunes bermula 2 OGOS 2019.

Pautan untuk 'ROJAK'