Blog / Press Releases, News

Kucaimars Lancarkan Video Muzik Rasmi 'Khayalan'

December 12th, 2019

Amirul Husyairi bin Nani atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Kucaimars mula mencuri perhatian apabila video lagu-lagu saduran dendangannya yang dikongsi menerusi laman media sosial menjadi tular dan mendapat sambutan hangat warganet. Semenjak dilamar sebagai penyanyi rakaman di bawah pengurusan syarikat rakaman Warner Music Malaysia, penyanyi ini telah melancarkan single debut berjudul ‘Jawab’ pada awal tahun ini. Namanya kini semakin meningkat naik setelah menyertai program realiti Big Stage 2019 pada Ogos lalu yang menjadi tontonan peminat muzik tempatan saban minggu. 

Walaupun hanya berjaya melayakkan diri sehingga ke peringkat Separuh Akhir, namun bintang seni Kucaimars semakin bersinar apabila muncul dengan single terbaharunya “Khayalan” yang dirakam sempena penyertaan dalam program tersebut. Walaupun gagal ke Konsert Akhir Big Stage 2019, namun pengalaman Kucaimars bertanding di pentas berprestij itu ternyata berbaloi apabila “Khayalan mendapat sambutan positif peminat sejak diperdengarkan pada 24 September lalu menerusi video lirik rasmi “Khayalan” yang dimuatnaik di saluran Youtube Rocketfuel Network yang sehingga kini berjaya mencapai lebih 362,000 tontonan. Single kedua Kucaimars ini merupakan lagu ciptaan sepenuhnya komposer terkenal Romeo dan Ezra Kong. Single ini merupakan hasil kerjasama antara Rocketfuel Entertainment dan Warner Music Malaysia.

Bagi menambah lagi impak kepada lagu yang sudah mula menjadi siulan anak muda masa kini, video muzik rasmi “Khayalan” telah dilancarkan sejak 12 Disember 2019 di saluran YouTube Warner Music Malaysia. Dalam video muzik arahan Ghazi Maslan ini, Kucaimars memilih untuk berganding dengan Nina Amin, finalis Dewi Remaja 2019.

“Khayalan” boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 4 Oktober 2019.