Blog / News, Press Releases

Falsafah Aizat Amdan Dalam Filem Pendek 'Angin Lalu'

May 16th, 2019

Bak mutiara kata “tiada yang kekal abadi di dunia ini”. Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Insan lemah bernama manusia juga tiada punya daya untuk hidup kekal abadi. telah termaktub semuanya di atas muka bumi hanyalah untuk sementara. Sudah pastinya setiap daripada kita pernah dan akan melalui detik perpisahan yang disebabkan oleh kematian. Sama ada maut menjemput kita sendiri atau maut menjemput orang yang disayangi.   Walaupun sudah dijanjikan perjalanan hidup manusia akan sebegitu, perpisahan akibat kematian adalah sesuatu yang memeritkan untuk orang yang ditinggalkan. Bagaimana peritnya orang yang ditinggalkan meneruskan kehidupan dan menghadapi hari-hari yang mendatang setelah kehilangan seseorang yang disayanginya. Menyedari bahawa perpisahan ini adalah muktamad, dan orang yang disayangi itu tidak lagi wujud di mana-mana di atas muka bumi ini. Itulah yang cuba digambarkan oleh penyanyi dan komposer Aizat Amdan dalam filem pendek “ANGIN LALU”, sebuah pelengkap visual single  terbarunya berjudul “ANGIN LALU”.

Jika lazimnya mana-mana lagu terbaru akan dilancarkan bersama video muzik, kali ini Aizat cuba mencipta kelainan dengan menerbitkan sebuah filem pendek. Menurut Aizat, medium filem pendek dipilih kerana ianya lebih sesuai dalam melengkapkan lagi penceritaan visual lagu “ANGIN LALU”. Lebih menarik lagi, filem pendek ini turut memparkan bakat lakonan anak seni ini. Menerusi video teaser yang dikongsikan Aizat di laman Instagramnya, kelibat Aizat dapat dilihat dalam sorotan lensa kamera yang mengikuti setiap langkah pelakon cilik Ainin Batrisya. Video teaser bedurasi 30 saat yang dikongsi sejak awal minggu ini, sedikit sebanyak berjaya menimbulkan tanda tanya kepada peminat tentang apa yang Aizat cuba sampaikan menerusi paparan video teaser itu.  

 

Filem pendek arahan Ganesh Venugopal dan Lisan Yee ini berkisar tentang seorang anak kecil yang cuba mengharungi hari-hari mendatang setelah kematian ibunya. Ianya turut menyorot kisah kepayahan seorang ayah mengurus keluarganya setelah kematian isteri dan memaparkan reaksi orang sekeliling yang terlalu cepat menghukum tanpa mengetahui keperitan yang dilalui orang lain. Begitulah tafsiran visual filem pendek ini dalam menggambarkan  maksud  lagu “ANGIN LALU” yang pastinya bakal menyentuh hati penonton.

 

Judul lagu “ANGIN LALU” ciptaan Aizat dan Mel Ramlan ini secara istilahnya diambil dari bahasa kiasan Melayu yang membawa maksud sesuatu yang bersifat sementara. Seperti angin yang sepintas lalu menghembus lembut dan kemudiannya berlalu pergi. Begitulah juga bait-bait lirik yang ditulis oleh Aizat bersama Mel dan abangnya Anas Amdan yang menekankan bahawa semua disekeliling kita pasti akan berlalu pergi, hanya kenangan yang tinggal bersemat di hati. Lagu ini menyarankan agar pendengar berebutlah masa yang ada, ciptalah kenangan sebanyak mungkin dan hargailah setiap detik yang kita ada bersama mereka yang tersayang.

 

Lagu ini mengambil inspirasi dari pengalaman Aizat sendiri yang kehilangan bapa tercinta Allahyarham Datuk Amdan Mat Din pada 9 Januari lalu. “ANGIN LALU” merupakan cubaan Aizat dalam  menterjemahkan perasaannya setelah kehilangan seseorang yang disayangi. Sebagai tanda kasih, rindu dan ucap selamat Aizat buat pelindung, penjaga dan pembimbing keluarganya selama ini, Aizat menyorot segala jasa dan memori indah bersama ayahanda tecinta dalam setiap alunan vokalnya dalam lagu ini.

 

Apabila diminta mengulas tentang lagu dan filem pendek ini, Aizat hanya berpesan, “Hargailah masa yang kita masih ada. Manfaatkannya dengan sebaik mungkin. Berbuatlah baik sesama insan terutamanya orang-orang yang kita sayang kerana kita tidak tahu bila ajal bakal menjemput kita. ”

 

“ANGIN LALU” merupakan single terbitan Kasi Gegar Entertainment dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar ini  boleh didapati dikesemua pelantar digital bermula 26 APRIL 2019. Manakala filem pendek “ANGIN LALU” akan ditayangkan diatas talian menerusi saluran Youtube Vlog Aizat yang boleh ditonton bermula 26 April 2019 yang lepas.